Blogger Tricks

08 September 2012

Anak tiba-tiba gemuk

"DOKTOR, anak saya kebelakangan ini nampak lebih berisi. Beratnya pun dah bertambah. Tapi kenapa perut dia buncit? " kata seorang ibu kepada saya.
Apabila ditanya lebih lanjut, didapati berat badan si manja meningkat dalam masa yang agak singkat, iaitu satu hingga dua minggu.
Apabila diperiksa, didapati tubuhnya tidak semakin montel sebaliknya matanya bengkak. Begitu juga kaki serta perutnya. Bengkak ini disebabkan air di dalam tisu serta abdomen. Selepas pemeriksaan dilakukan, kanak-kanak ini disahkan menghidap sindrom nefrotik.

Apakah sindrom Nefrotik?
Sindrom nefrotik ialah masalah buah pinggang iaitu protein bocor dari buah pinggang dan keluar ke dalam air kencing. Akibatnya, badan kekurangan protein dan menjadi bengkak.

Terdapat beberapa punca sindrom nefrotik. Sindrom ini boleh membabitkan kanak-kanak dan orang dewasa. Bagaimanapun, sindrom nefrotik di kalangan kanak-kanak biasanya disebabkan `minimal change glomerulonephritis' iaitu sel di dalam buah pinggang membocorkan protein ke dalam air kencing.

Tanda-tanda sindrom nefrotik:

  • Bengkak terutama pada bahagian mata, perut dan kaki. Bahagian kemaluan juga mungkin bengkak. Sekiranya bengkak pada bahagian perut terlalu besar, ia boleh menjejaskan pernafasan

  • Protein di dalam air kencing akibat dari kebocoran pada buah pinggang

  • Tahap protein dalam darah yang rendah

  • Tahap kolestrol tinggi


    Rawatan:

    Rawatan untuk sindrom nefrotik biasanya dimulakan selepas penyakit ini dikenal pasti melalui ujian air kencing dan darah. Rawatan terdiri daripada ubat prednisolone yang perlu dimakan setiap hari selama empat minggu diikuti prednisolone selang sehari selama empat minggu. Sekiranya tiada perubahan pada keadaan anak, doktor akan mengambil secebis tisu dari buah pinggang untuk mengenalpasti punca sindrom nefrotik.

    Kanak-kanak yang mengalami sindrom nefrotik mempunyai risiko jangkitan kuman. Oleh itu, mereka mungkin diberi antibiotik.

    Komplikasi Sindrom Nefrotik

  • Tekanan darah rendah

  • Jangkitan pada selaput usus (peritonitis)


    Sebahagian daripada kanak-kanak yang mengalami sindrom nefrotik akan mengalami 'relapse' iaitu gejala bengkak dan protein di dalam air kencing akan berlaku lagi. Sekiranya ini berlaku, doktor akan mulakan rawatan prednisolone lagi. Biasanya kekerapan relapse akan berkurangan apabila kanak-kanak itu membesar.

    Kanak-kanak yang mengalami 'minimal change nephrotic syndrome' biasanya tidak akan mengalami kesan jangka masa panjang pada fungsi buah pinggang.
  • Posted By: Admin

    Anak tiba-tiba gemuk

    No comments:

    Post a Comment

    About

    Gallery

    Advertisment

    Like Us